Pengajian Penterjemahan dan Interpretasi merupakan disiplin pengajian yang semakin mendapat perhatian khusus pada peringkat global terutamanya pada era globalisasi yang melibatkan pelbagai bentuk mobiliti manusia untuk tujuan politik, ekonomi dan sosial. Pada masa yang sama, sebagai pengajian yang merentasi pelbagai disiplin, Pengajian Penterjemahan dan Interpretasi berkeupayaan untuk dijadikan pemangkin dalam agenda kelestarian serta pemindahan ilmu daripada satu tamadun kepada satu tamadun yang lain sekali gus menggalakkan interaksi silang bahasa, budaya dan ilmu.

Sejajar dengan itu, penubuhan Unit Penyelidikan Terjemahan dan Interpretasi (UniTI) bertujuan  menjalankan penyelidikan Pengajian Penterjemahan tulen dan terapan serta Interpretasi melalui pelbagai bentuk kolaborasi merentasi disiplin dengan melibatkan aneka pasangan bahasa.  Di samping itu, kursus jangka pendek dan bengkel pelatihan penterjemah dan jurubahasa serta perundingan dan perkhidmatan terjemahan dan kejurubahasaan turut menjadi agenda penting kepada UniTI.

Sehubungan dengan itu, UniTI mengalu-alukan cadangan kerjasama penyelidikan daripada semua pihak baik dari institusi pengajian tinggi, pusat penyelidikan mahupun industri dan komuniti. UniTI juga bersedia untuk memberikan perkhidmatan terjemahan dan kejurubahasaan.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong, penyelaras UniTI, alamat e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya., nombor telefon: 04-6532877.